Jumaat, 13 Julai 2007

Kisah-Kisah Sufi Teladan (Buku Karangan Abdul Rahman Ibnul Jauzi)

Tidak Ada Jalan Maksiat

Seorang lelaki datang kepada Ibrahim bin Adham sambil berkata:

"Wahai Abu Ishak, aku seorang yang berlumuran dosa. Banyak melakukan kezaliman. Berkenan kiranya tuan mengajarkanku hidup zuhud, agar Allah memberikan jalan terang dalam kehidupanku dan menyuburkan hatiku yang gersang."

"Apabila dirimu dapat memegang teguh enam perkara yang akan saya kemukakan, tentu akan mendapatkan keselamatan," jawab Ibrahim bin Adham.

"Apa dia, wahai Abu Ishak?" tanya lelaki itu.

"Pertama, bila dirimu akan melakukan maksiat, janganlah memakan rezeki Allah."

"Manakala di seluruh penjuru bumi ada rezeki Allah, sama ada di barat mahupun di timur, di darat mahupun di lautan, di kebun mahupun di gunung, jadi dari mana aku makan?"

"Wahai saudaraku, layakkah kamu memakan rezeki Allah, sementara dirimu melanggar peraturanNya."

"Tidak, demi Allah. Kemudian apa yang kedua?"

"Kedua, bila kamu bermaksiat kepada Allah, jangan tinggal di negeriNya."

"Tuan Ibrahim, demi Allah yang kedua ini lebih berat. Bukankah bumi ini milikNya? Kalau demikian, di manakah aku harus tinggal?" tanya lelaki itu.

"Patutkah kamu makan rezeki Allah dan bertempat tinggal di bumiNya, sedangkan dirimu melakukan maksiat kepadaNya?"

"Tidak patut, wahai tuan guru," ujarnya.

"Ketiga, apabila dirimu hendak melakukan maksiat, jangan melupakan Allah Maha Melihat, dan beranggapan bahawa Dia lalai kepadamu!"

"Tuan guru, bagaimana mungkin aku dapat melakukannya, padahal Allah maha Mengetahui segala rahsia, dan melihat setiap gerak hati nurani." ujar lelaki itu.

"Layakkah dirimu menikmati rezeki Allah, tinggal di bumiNya dan maksiat kepadaNya sedangkan Allah melihat dan mengawasi perilakumu?"

"Tentu sahaja tidak, wahai tuan guru. Terus apakah yang keempat?" tanya lelaki itu penuh harapan.

"Keempat, manakala malaikat maut datang kepadamu, hendak mencabut nyawa, katakan kepadanya "Tunggu sebentar, aku akan bertaubat!"

"Tuan guru, hal itu sangat mustahil. Dan permintaan itu tidak mungkin dikabulkan." jawab lelaki itu.

"kalau dirimu sedar, bahawa tidak mungkin dapat menolak keinginan malaikat maut (Izrael), tentu dia akan datang kepadamu bila-bila masa sahaja. Mungkin sebelum dirimu dapat bertaubat," kata Ibrahim.

"Benar apa yang tuan ucapkan. Lantas apa yang kelima?" tanyanya lagi.

"Kelima, bila malaikat Munkar dan Nakir datang kepadamu, lawanlah dengan segala kekuatan yang ada, jika dirimu mampu."

"Itulah suatu lagi hal yang sangat mustahil, wahai tuan guru." balas lelaki itu.

"Keenam, manakala kelak dirimu berada di sisi Allah, dan Dia menyuruhmu masuk neraka, katakanlah, "Ya Allah, aku tidak bersedia masuk ke dalamnya." Ujar Ibrahim bin Adham.

"Wahai tuan guru, keenam perkara itu sangat berat. Cukup, saya telah sedar dan faham."

Lelaki itu segera meninggalkan Ibrahim bin Adham dengan hati yang lega, dan menambah kesedran hati dalam beribadah kepada Allah.

Tiada ulasan: